|
Bagi mereka yang
berminat memulakan perniagaan tetapi ketiadaan modal, kini tidak
perlu bimbang kerana Bank Negara Malaysia (BNM) bakal
memperkenalkan pembiayaan kewangan mikro kredit, bagi
merealisasikan hasrat tersebut.
Gabenor Bank Negara
Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, skim mikro kredit
itu menawarkan pinjaman antara RM500 hingga RM50,000 khusus untuk
usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menurutnya, Perdana
Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri
Kewangan akan mengumumkan institusi kewangan yang dilantik BNM
dalam menyediakan pembiayaan pinjaman mikro kredit itu.
‘‘Di bawah skim ini,
mana-mana PKS yang sebelum ini tidak mendapat pinjaman kewangan
akan dibantu dan diberi pinjaman menerusi bank-bank yang dilantik
oleh BNM,” katanya kepada pemberita selepas majlis dialog antara
BNM dengan pelbagai agensi kerajaan dan individu di Pusat Dagangan
Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Pada Mac 2003,
kerajaan menubuhkan dana sebanyak RM1 bilion di bawah skim mikro
kredit khusus untuk membantu golongan usahawan kecil menjalankan
perniagaan mereka, selain menangani kegiatan ceti haram yang
menjadikan peniaga kecil sebagai mangsa. |